Jalur kuasa

Jalur kuasa (juga dikenali sebagai wayar sambungan, soket tambahan, dsb.) merupakan satu blok soket elektrik yang disambungkan melalui satu kabel boleh lentur ke plag utama bagi membolehkan berbilang peralatan elektrik berkongsi satu soket elektrik yang sama. Jalur kuasa sering digunakan bagi pelbagai jenis peralatan elektrik, terutamanya peralatan audio visual (seperti televisyen dan radio) serta sistem komputer. Jalur kuasa selalunya dilengkapi fius elektrik bagi mengehadkan arus elektrik yang melaluinya secara selamat. Terdapat juga jalur kuasa yang mempunyai pelindung pusuan bagi melindungi peralatan elektronik sensitif seperti komputer daripada pepaku voltan yang terhasil terutamanya semasa sambaran kilat.